Dan ... siapa yang menanam cili, dia lah yang akan mendapat hasilnya.
Untuk keluar dari zon selesa bukan lah suatu perkara yang mudah pada sesetengah orang.
Apatah lagi untuk bekerja di bawah cuaca panas terik dan bermain dengan tanah dan baja pokok.
Tetapi, bagi Nor Sabella Melan yang merupakan anak jati Kampung Felda Bukit Cherakah, beliau sanggup menyahut cabaran ini.
Walaupun sedang selesa bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta, beliau masih komited untuk turut menumpukan perhatian mengusahakan tanaman cili bersama dua rakan kongsinya iaitu Azizi Azis dan Faizal Rahman.
Dengan berbekalkan modal sendiri, mereka telah memulakan projek ini kira-kira tiga tahun yang lalu di atas tanah seluas 1.4 hektar di kampungnya.
Walau bagaimanapun, tanpa ilmu dan maklumat yang lengkap, mereka pernah mengalami kerugian besar kerana tidak fokus kepada data pelanggan untuk membeli hasil tanaman mereka.
Perkara ini telah memberikan kesedaran bahawa di dalam dunia perniagaan ini memerlukan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang pelbagai termasuklah berkaitan dengan tanaman, kaedah penjagaannya, serta informasi pelanggan dan pasaran yang ada.
Kerugian yang dialami ini merupakan suatu pengajaran buat mereka dan sekaligus menjadi peringatan agar perkara yang sama tidak akan berulang lagi.
Hakikatnya, untuk bekerja dalam dua bidang yang berbeza dalam satu masa bukanlah suatu perkara yang mudah.
Justeru itu, Nor Sabella bijak mengaturkan dan membahagikan masa sebaiknya di antara tugas sebagai eksekutif syarikat dan juga sebagai pegawai pemasaran Projek Ilham.
Bagi memaksimakan pulangan pula, tanaman cili mereka ini akan terus dijual kepada pelanggan tanpa melalui orang tengah.Kaedah ini sekaligus dapat melebarkan lagi jaringan perniagaan mereka dengan mengenali lebih dekat pelanggan-pelanggan yang ada.
Sasaran mereka untuk menjadi pembekal cili terbesar di Malaysia meripakan satu impian yang besar. Oleh kerana itu lah, ketiga-tiga rakan kongsi ini sanggup untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada projek ini.
Menurut Nor Sabella juga, tidak mustahil pada suatu hari nanti beliau mungkin akan berhenti kerja di syarikat swasta dan menumpukan sepenuh perhatian kepada tanaman cili Projek Ilham.
Baginya, untuk keluar dari zon selesa bukan lah suatu perkara yang sukar kerana keinginan dan kesungguhan untuk menjadi pembekal cili terbesar adalah suatu yang mereka impikan.
Apa yang penting adalah kepuasan diri mengecap kejayaan hasil daripada titik peluh sendiri tanpa perlu bekerja di dalam ruang pejabat berhawa dingin.
JOM buat ... D.U.I.T
Doa | Usaha | Istiqomah | Tawakal
Comments
Post a Comment