Cara hidup, cara bekerja dan cara belajar juga telah berubah sama sekali berbanding dengan sebelum ini.
Tanpa kita sedari, ada masa-masa terluang yang telah terbuang begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebaiknya.
Tetapi, usah khuatir, kerana ruang dan peluang masih ada untuk kita merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti berfaedah tatkala berada di rumah.
Antaranya adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti pertanian sama ada dengan projek tanaman sayuran menggunakan tanah atau tanpa tanah.
Kaedah tanaman secara hidroponik telah lama berada di negara kita.
Walaupun kaedah ini sesuai terutamanya di kawasan bandar, tetapi terdapat kekurangannya juga kerana seringkali timbul permasalahan pembiakan nyamuk Aedes.
Kita pun pastinya tak nak lah menjadi penternak nyamuk Aedes yang 'berjaya' kan ... huhuhu ...
Justeru itu lah munculnya idea bagi mengoptimakan penggunaan air yang digunakan dalam kaedah hidroponik dengan menternak ikan di dalam air tersebut.
Ini lah yang disebut sebagai kaedah akuaponik iaitu gabungan di antara penanaman tumbuhan seperti sayuran dan penternakan ikan yang menggunakan peralatan dan medium yang sama.
Menurut pengasas Farm2Fork, Dr. Richard Ng, beliau memilih kaedah ini kerana penggunaan ruang dan medium secara optima tetapi mampu mendatangkan hasil yang baik.Konsepnya adalah mudah iaitu ikan yang diternak di dalam takungan akuaponik akan diberi makanan seperti keperluan biasanya.
Sisa buangan ikan ini pula akan menjadi baja dan diserap melalui akar tumbuhan sayuran yang ditanam di atas permukaan takungan.
Kaedah ini bukan sahaja bersifat mesra alam tetapi juga dapat menjimatkan penggunaan baja untuk tanaman dan sekaligus mengurangkan kos operasinya.
Beliau yang telah lebih daripada lima tahun menjalankan kaedah ini telah mengesyorkan kepada sesiapa yang baru berkecimpung untuk memulakannya dengan ternakan ikan siakap kerana lebih mudah untuk diuruskan.
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa keseimbangan ekosistem adalah amat penting di dalam kaedah akuaponik bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Jenis dan bilangan ikan dan tanaman, suhu air, saiz dan jenis takungan serta sistem penapisan air memainkan peranan penting kepada pelaksanaan dan kejayaan projek akuaponik di rumah.
Maka, tidak mustahil lah jika sesiapa sahaja yang gigih berusaha akan mampu untuk memperoleh hasil terbaik untuk kegunaan sendiri atau pun dijual untuk menambahkan pendapatan.
JOM buat ... D.U.I.T
Doa | Usaha | Istiqomah | Tawakal
Comments
Post a Comment