Kerjaya sebagai penghantar barang atau runner bukan lah kerjaya yang nampak glamer. Apatah lagi terpaksa berpanas dan berhujan demi menyempurnakan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.
Kebiasaannya, majoriti di dalam bidang ini adalah lelaki. Tetapi, ini tidak bermakna tiada kaum hawa yang menjadikan kerjaya runner sebagai sumbernya mencari rezeki.
Di Kota Bharu, Kelantan, bumi serambi Mekah, peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh runner semakin mendapat perhatian di kalangan penduduknya.
Mudah, cepat dan harga berpatutan !!! Itu lah yang menjadi tarikan kepada perkhidmatan ini terutamanya di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Salah seorang runner yang berjaya ditemui di sini adalah Siti Rafiah Ab Rashid yang berusia 29 tahun.
Katanya, beliau menyediakan perkhidmatan membeli dan menghantar makanan dan minuman, barangan keperluan harian dan barangan runcit.
Selain itu, perkhidmatan mengambil dan menghantar dokumen-dokumen ke pejabat turut disediakannya.
Segalanya bermula apabila ada rakannya yang memohon bantuan membeli dan menghantar barangan keperluan.
Melihat kepada potensi dan hasil pulangan kerjaya ini membuatkan beliau memilih menjadi seorang runner sepenuh masa sejak tahun 2018 walaupun berstatus pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kejuruteraan Komputer) daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Katanya lagi, kadar upah yang diambil adalah bergantung kepada jarak perjalanan (pergi - balik) serta saiz dan berat barangan tersebut.Menurutnya lagi, di musim PKP ini telah meningkatkan lagi pendapatannya kerana permintaan telah meningkat dua kali ganda. Walaupun begitu, beliau tetap berhati-hati dan sentiasa mengamalkan SOP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Selain itu, beliau turut berasa bersyukur kerana kerjaya sebagai runner membolehkannya membantu menyara ibu dan keluarganya serta dapat melangsaikan puluhan ribu ringgit hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dipinjam ketika melanjutkan pelajaran di UTeM.
Baginya, walaupun ada suara-suara sumbang yang memperlekehkan pilihan kerjayanya ini, tetapi, apa yang penting baginya adalah beliau mampu mendapatkan rezeki yang halal setiap hari.
Apa yang penting baginya adalah sentiasa berdoa setiap hari agar terpelihara daripada musibah di sepanjang usahanya ini memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
Comments
Post a Comment