Trend ini amat terkenal di Jepun serta turut mempunyai pengikutnya di Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat.
Bahkan, di negara kita Malaysia juga mempunyai kumpulan peminat ini yang sanggup membelanjakan sejumlah wang mereka demi mendapatkan kostum lengkap karektor yang mereka minati.
Kepada korang yang baru pertama kali mendengar istilah ini, sebenarnya cosplay adalah gabungan daripada perkataan costume play --- iaitu perilaku memakai, memperagakan atau menggayakan pakaian dan aksesori sesuatu karektor yang diminati.
Kebanyakan daripada kostum ini boleh dibeli atau ditempah dari luar negara.
Namun, ini bukan lah halangan kepada peminat cosplay untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Apa yang penting buat mereka adalah kepuasan untuk memiliki dan memperagakan kostum ini.
Tapi, tahu kah korang, di Malaysia juga sudah ada pembuat kostum cosplay ??
Raja Muhammad Rusydi Raja Mahmood, berusia 25 tahun, menjadikan minatnya sebagai sumber pendapatan dengan menghasilkan pelbagai kostum adiwira.
Segalanya bermula sejak kecil lagi apabila terpegun dengan kostum Power Rangers dan berangan-angan untuk memiliki kostum seumpama itu.
Mulai tahun 2012, beliau mula mencuba-cuba menghasilkan kostum adiwira untuk dirinya sendiri.
Semakin lama minatnya semakin berkembang dan terus bercambah lagi apabila melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Selangor, di dalam jurusan Filem, Teater dan Animasi.
Melihat kepada perkembangan industi ini serta potensi menjana pendapatan, maka, Raja Muhammad Rusydi atau nama panggilannya King Rusydi telah mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri dengan nama Kuramaker pada tahun 2016.
Usahanya ini bukan lah sia-sia apabila kostum cosplay yang dihasilkan Kuramaker mulai menarik minat syarikat-syarikat yang membuat tempahan kepadanya.
Selain itu, beliau turut mengambil tempahan daripada orang perseorangan dan menyiapkan kostum mengikut kesesuaian ukuran badan pelanggannya.Pandang sinis dan kritikan negatif sudah menjadi lumrah sepanjang penglibatannya di dalam dunia penghasilan kostum cosplay.
Baginya, ini adalah pembakar semangat untuk terus memberikan hasil terbaik demi kepuasan pelanggannya yang terdiri daripada peminat-peminat cosplay.
Menurut King Rusydi, antara kepuasan dan kejayaan terbaiknya adalah apabila berjaya mewakili Malaysia untuk pertandingan World Cosplay Summit 2019. Lebih membanggakannya adalah pada tahun tersebut, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada pertandingan ini.
Minatnya yang suka menghasilkan sesuatu daripada kerja tangan dan mencari rezeki hasil daripada titik peluh sendiri, turut mendapat sokongan daripada keluarganya.
Menurutnya juga, pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh ini merupakan sesuatu yang amat berharga dan tidak mungkin akan diperoleh sekiranya dirinya tidak berani mengambil langkah awal menceburi bidang ini.
Walaupun situasi pandemik COVID-19 agak merencatkan perniagaannya, namun, penggunaan platform media sosial seperti akaun Instagram kuramaker telah dapat membantu mempromosi dan mendapatkan pelanggan-pelanggan baru.
Bergerak ke masa hadapan, King Rusydi merancang untuk membuka studio kecilnya sendiri di suatu premis yang bersesuaian serta menjadikan Kuramaker sebagai sebuah syarikat besar dan dikenali bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.
Pendek kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada jalan, di situ lah juga akan ada rezekinya.
JOM buat D.U.I.T
Doa | Usaha | Istiqomah | Tawakal
Comments
Post a Comment