Huhuhu ... mesti korang terbayangkan duri-duri tajam pada daun nanas kannn ??
Ya benarrr ... tiada apa yang mustahil sekarang ini.
Selari kepada motto SatuJutaIdea, apa saja barang boleh dibuat duit, maka, boleh lah diusahakan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan yang halal.
Justeru itu lah, sejak tahun 2007, seorang anak jati negeri Johor, Asna Nabihah Azmi, telah menginovasikan pembuatan pelbagai produk kraftangan daripada daun nanas.
Baginya, adalah menjadi satu pembaziran sekiranya daun nanas ini dibuang begitu sahaja selepas proses tuaian buah nanas sedangkan pelbagai potensi boleh diinovasikan daripada daun nanas.
Bermula daripada penghasilan penanda buku, kini Asna Nabihah telah menghasilkan lebih daripada 20 jenis hasilan kraf di bawah jenama Palmy termasuklah pemegang kunci, beg duit, selendang dan bingkai gambar.
Lebih istimewa lagi, setiap produk yang dihasilkan ini adalah 100 peratus daripada bahan semulajadi dan tidak menggunakan bahan kimia.
Menurut beliau, sumber bahan mentahnya iaitu daun nanas diperoleh dari kawasan ladang nanas di Pontian dan Ulu Tiram.
Menurutnya lagi, terdapat teknik yang berbeza bagi proses penghasilan fabrik dan kertas menggunakan daun nanas. Ini bertujuan memastikan kehalusan dan kualiti produknya adalah menepati cita rasa pelanggan.
Untuk menghasilkan kain berukuran sepuluh meter memerlukan kira-kira seratus kilogram daun nanas. Dengan sumber bahan mentah yang banyak yang ada di negeri Johor, maka, beliau tidak berasa bimbang akan terputus bekalan.
Proses untuk menghasilkan benang daripada daun nanas adalah agak sukar kerana daun nanas perlu diracik halus untuk mengeluarkan serat benang. Hanya kira-kira satu kilogram benang yang dapat dihasilkan daripada seratus kilogram bahan mentah yang diperoleh.
Walau bagaimana pun, kepuasan dalam menghasilkan kraf fabrik berasaskan daun nanas adalah antara faktor yang mendorongnya untuk menghasilkan selendang dan tas tangan.
Demi menjaga keaslian produk yang dihasilkan, beliau hanya menggunakan bahan warna bersumberkan bahan semulajadi.
Berbanding dengan fabrik, untuk menghasilkan kertas daun nanas adalah lebih mudah. Daun nanas akan digunting, direndam semalaman sebelum dikisar menggunakan mesin pengisar industri.Kemudiannya, hasil yang telah dikisar ini akan diletakkan memgikut ketebalan tertentu di atas pencetak yang diciptanya sendiri untuk dikeringkan. Kebiasannya, proses pengeringan akan mengambil masa antara satu ke tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Menurutnya lagi, kajian dan penyelidikan dilakukannya sendiri bagi menghasilkan kertas daun nanas yang bermutu serta bertekstur lebih halus, licin dan boleh dicetak.
Usaha gigihnya membuahkan hasil setelah beberapa kali mencuba dan akhirnya pelbagai produk kraf boleh dihasilkan daripada kertas daun nanas.
Sepanjang pengalaman di dalam bidang ini, adalah bukan mudah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kitar semula dan pembuatan produk eko yang mesra alam.
Dugaan dan celaan masyarakat sekeliling menjadi lumrah buat dirinya dalam usaha menginovasikan sisa daun nanas. Usaha untuk mendapatkan pinjaman bank juga tidak berjaya bagi mengembangkan lagi projek ini.
Pelbagai alasan yang pernah diterimanya termasuklah anggapan bahawa produk hasilan eko tidak mempunyai pasaran dan potensi komersial.
Namun, segalanya ini dianggap beliau sebagai satu pendorong untuk memajukan lagi perusahaannya dan membuktikan bahawa produk kraftangan hasil daripada daun nanas mampu mendatangkan pulangan.
Kini, telah terbukti bahawa permintaan semakin meningkat dan masyarakat semakin memberikan sokongan kepada produk mesra alam.
Kepada yang berminat boleh lah berkunjung ke Galeri Palmy, sama ada di Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor atau di Bukit Bintang Kuala Lumpur, atau boleh ja layari laman webnya untuk tempahan produk secara online.
JOM buat ... D.U.I.T
Doa | Usaha | Istiqomah | Tawakal
Comments
Post a Comment