Tapi ... tahu kah korang bahawa terdapat lebih daripada 100 varieti durian yang telah didaftarkan di Malaysia, di bawah bidang kuasa Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Pendaftaran varieti tanaman bagi Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan adalah bertujuan untuk mendaftar kepelbagaian varieti pelbagai tanaman seperti buah-buahan, sayuran, bunga-bungaan dan lain-lain yang ditanam di Malaysia.
Senarai varieti tanaman adalah merangkumi varieti diketahui umum (common knowledge) termasuklah varieti yang dilindungi di bawah Hak Pembiak Baka --- Plant Breeders' Rights juga dikenali sebagai Plant Variety Protection (PVP) yang merupakan hak Intellectual Property pembiak tanaman ini.
Bercakap pasal durian ... pada tahun 2021 ini sahaja, ada empat varieti baharu yang telah didaftarkan pada 28 Januari iaitu durian S17 (D212) dan TUNGKU 3 (D213) di Johor, TUPAI 226 (D214) di Pulau Pinang dan WM (D215) di Negeri Sembilan.
Untuk info korang juga, Dxxx ini adalah Nombor Pendaftaran Varieti di mana huruf "D" itu adalah Kod Daftar bagi varieti durian. Untuk durian belanda pula, Kod Daftar yang digunakan adalah DB.
Okey ... dah panjang lebar sangat Admin berkongsi berkaitan perkara varieti nie. Sekarang jom kita makan ... ehhh ... bercerita pasal varieti durian terbaru di Pulau Pinang --- Tupai King.
TUPAI 226 adalah merupakan nama rasmi kepada varieti durian ini yang didaftarkan oleh Encik Chew Chee Wan beralamat di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Varieti dengan nombor pendaftaran D214 ini telah diperakui secara rasmi oleh Ketua Pengarah Pertanian pada 26 Februari lalu dan semakin menjadi popular dengan nama gelaran durian Tupai King.
Khabar-khabar berita menyatakan bahawa keunikan rasa durian ini mampu mencabar durian-durian popular lain seperti Musang King dan Duri Hitam.
Dilaporkan juga bahawa di dusun pengusaha tersebut terdapat 46 batang pokok Tupai 226 dan sekaligus membolehkannya mendaftarkan durian ini sebagai varieti yang baharu kerana telah memenuhi semua syarat yang diperlukan termasuklah mempunyai minima lima batang pokok (syarat permohonan pendaftaran bagi kategori tanaman buah-buahan).
Soalan popular daripada korang ... apakah ciri-ciri untuk mengenalpasti buah durian Tupai King atau Tupai 226 ini ??
Menurut kepada Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Encik Mohd. Muhaimin Ibrahim, antara ciri-ciri Tupai King adalah kulitnya berwana hijau keperangan, buah berbentuk ovat (bujur seperti telur) dengan pangkal membulat dan hujung menajam.
Purata berat durian Tupai King adalah 2.1 kilogram (kg) dengan purata sebanyak sembilan ulas bagi setiap buah. Purata berat isinya pula adalah 0.7kg.
Isinya pula berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana. Tahap kemanisannya juga boleh lah danggap tinggi (berbanding dengan mempelam harum manis Terengganu ... huhuhu) dengan bacaan purata 39 darjah Brix.
Menurut Encik Chew Chee Wan pula, durian Tupai King yang ditanamnya itu telah mendapat respon yang sangat baik daripada para penggemar durian dan telah mempunyai pelanggan setia sejak sepuluh tahun yang lalu.
Beliau yang berniaga durian di Jalan Paya Terubong di Relau, Bayan Lepas, sentiasa tidak menang tangan menerima permintaan daripada pelanggan.
Walau bagaimanapun, memandangkan stok adalah agak terhad kerana buat masa ini beliau hanya mempunyai 16 pokok yang sudah matang dengan penghasilan kira-kira 1,000 biji buah sahaja setahun (iaitu dalam bulan Jun dan Julai).
Ditambahkan lagi dengan keunikan rasanya yang manis-manis pahit, maka, harga Tupai King yang dijualnya pada tahun lepas adalah sekitar RM 70 sekilogram dan dijangka mampu mencecah sehingga harga RM 100 pada tahun ini.
Beliau turut menjangkakan bahawa suatu hari nanti apabila telah dikomersialkan semaksimanya, durian Tupai King akan mampu menyaingi populariti durian Duri Hitam yang ketika ini adalah termahal di Malaysia.
JOM buat ... D.U.I.T
Doa | Usaha | Istiqomah | Tawakal
Comments
Post a Comment